Monday, August 22, 2011

Cadangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia


Sekadar melontar pandangan dan cadangan kepada kementerian kesihatan Malaysia terutama dalam konteks pegawai perubatan untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana ke atas.

Seperti yang kita maklum bahawa para pegawai perubatan (doktor) pelatih perlu berkhidmat selama 2 tahun di pelbagai jabatan di dalam hospital besar sebelum layak digelar pegawai perubatan (UD43). Kemudian, mereka ini akan dihantar ke hospital daerah untuk didedahkan dengan pelbagai pemasalahan secara umum kerana secara umum hospital daerah tidak ada jabatan-jabatan tertentu (specialization units).

Pegawai perubatan ini biasanya perlu berkhidmat untuk beberapa tahun sebelum boleh membuat permohonan untuk kembali ke hospital besar dan mendapat pengalaman dalam bidang yang mereka minati sebelum membuat keputusan menyambung pelajaran ke peringkat sarjana.

Tidak dinafikan proses tersebut amat baik untuk mendedahkan pegawai perubatan dengan reality sebenarnya. Cuma seperti yang kita semua sedia maklum terdapat kekurangan pegawai perubatan di sesuatu tempat, terpaksa berada di hospital daerah kerana komitmen terhadap suami/isteri/keluarga dan pelbagai masalah lain yang menyebabkan para pegawai tersebut tidak dapat kembali ke hospital besar untuk memahirkan kepakaran mereka dalam bidang yang mereka minati. Ada juga yang minat bidang lain tetapi terpaksa berada dalam unit lain.

Mereka ini ingin menyambung pelajaran dalam bidang mereka tetapi jika tidak cukup pengalaman dalam bidang tertentu maka permohonan mereka tidak akan diterima. Ditambah pula dengan persaingan yang kompetitif. Maka mereka ini biasanya akan terlepas peluang untuk menyambung pelajaran, pada yang terus setia akan kekal di dalam kerajaan. Manakala yang kecewa akan masuk bekerja di hospital swasta ataupun membuka klinik persendirian. Ini merugikan kerajaan kerana kerajaan berbelanja cukup banyak untuk menambah bilangan pegawai perubatan.

Alangkah lebih baik, pegawai ini diberikan juga keutamaan untuk menyambung pelajaran kerana ada pegawai perubatan yang masuk kali ke 4/5 tetapi masih tidak Berjaya memasuki program pengajian sarjana. Keadaaan ini amat merugikan. Ada pegawai perubatan berada dalam unit tertentu selama beberapa tahun tetapi oleh kerana tiada tenaga pakar dalam unit tersebut. Bila memohon untuk melanjutkan pelajaran maka permohonannya di tolak.

Selain daripada pelbagai merit seperti peperiksaan, temuduga, pembentangan kertas kerja dan sebagainya. Boleh juga keutamaan diberikan kepada mereka untuk menyambung pelajaran berdasarkan “senioriti”. Banyak agensi kerajaan yang mempertimbangkan kaedah tersebut. Ini tidak, pegawai perubatan yang masih muda dan junior dapat menyambung pelajaran ke peringkat sarjana kerana lulus peperiksaan dan temuduga serta ada kertas kerja. Manakala yang senior malah yang sudah mencapai UD48 masih belum berjaya untuk menyambung pelajaran walaupun sudah berkali kali memohon untuk meneruskan pelajaran ke peringkat sarjana

Kesukaran yang dihadapi oleh pegawai perubatan tersebut juga perlu dipertimbangkan untuk melayak mereka untuk menyambung pelajaran. Jika tidak, sampai bila pun masalah pegawai perubatan berpindah ke sektor swasta tidak dapat di atasi.

Sekadar luahan rasa

No comments: